Pendedahan itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof yang menganggap situasi di pusat tahfiz itu sangat serius dan berasa terkejut kerana ibu bapa masih menghantar anak-anak mereka walaupun pusat tahfiz itu tidak berdaftar.

Justeru, beliau menasihati ibu bapa supaya menyemak terlebih dahulu dan memilih pusat tahfiz yang berdaftar demi masa depan anak-anak mereka serta menjaga nama baik institusi Islam.

"Tiga guru sudah meninggalkan pusat tahfiz tersebut dan murid-murid ketika ini hanya dipantau oleh murid yang lebih berusia, itu sahaja, jadi kalau tidak ada guru, macam mana mereka nak belajar.

"Pusat tahfiz ini pula tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), gaji guru tidak dibayar, yuran sebanyak RM280 pun ada yang tidak bayar, jadi mereka seolah-olah sudah tidak ada kemampuan lagi untuk meneruskan operasi, sebab itu kita tanya balik kepada ibu bapa, kalau tidak berdaftar, kenapa hantar juga," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan di pusat tahfiz itu di Kepong di sini, hari ini.-UTUSAN ONLINE