Difahamkan, tangkapan dibuat susulan laporan polis oleh seorang wanita warga Indonesia berhubung kehilangan sepasang suami isteri yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Kedua-dua lelaki berusia dalam lingkungan 35 hingga 40 tahun itu ditahan pada 29 dan 30 Januari lalu di sekitar Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Shafa’aton Abu Bakar berkata, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 31 Januari lalu hingga esok.

“Siasatan lanjut berhubung kes itu sedang giat dijalankan, identiti kedua-dua mayat berkenaan masih belum dapat dikenalpasti.

“Sampel biologi mayat terbabit untuk dijalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA), kita akan tunggu laporan ujian untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Op Selamat 14 sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2019 peringkat Daerah Sungai Buloh di Pusat Komersial TSB, hari ini.

Pada 26 Januari lalu, dua mayat, masing-masing seorang lelaki dan wanita ditemukan di lokasi kejadian dipercayai sudah mati sejak dua minggu lalu.

Mayat-mayat berkenaan telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.-UTUSAN ONLINE