MANGSA kes tetak, Ahmad Radzi Jamaludin meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Labis, Segamat, Johor, kelmarin.

Ketua Polis daerah, Superintenden Raub Selamat berkata, perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Muar, Noriza Mohamed, hari ini.

Beliau berkata, suspek ber­usia 45 tahun yang tinggal di tanah rancangan sama dengan mangsa ditahan tidak lama kemudian selepas kejadian itu semalam bagi membantu siasatan kes tersebut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi semalam, Ahmad Radzi Jamaludin, 40, yang sedang melayan pelanggannya ditetak dengan sebilah parang dari arah belakang oleh seorang lelaki dan mengalami kecedaraan parah di bahagian tangan kiri serta leher kiri sebelum disahkan meninggal dunia ketika diberi rawatan di Klinik Kesihatan Labis.

Menurutnya, polis turut me­rampas sebilah parang sepanjang 95 sentimeter yang dipercayai digunakan suspek untuk menetak mangsa serta sebuah kereta Proton Iswara berwarna kelabu dan motosikal Modenas Kriss sebagai bahan bukti.

“Motif pembunuhan masih dalam siasatan dan pihak polis menyeru agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini kerana kes masih dalam siasatan,” katanya.