Perkara itu disahkan Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravana yang turut memaklumkan, salah seorang mangsa ialah Sarbudeen Shikander, 70, yang tinggal di Georgetown di sini.

SALAH seorang mangsa yang dibunuh
SALAH seorang mangsa yang dibunuh

Sementara itu, katanya, seorang lagi mangsa dipercayai berusia lingkungan 30-an namun identitinya belum dapat dikenal pasti memandangkan tiada dokumen pengenalan diri ditemukan pada mangsa.

“Kedua-dua mereka bekerja sebagai penjaga serta penjual kupon tempat letak kenderaan di sekitar pusat bandar dan menyewa bersama di tingkat satu bangunan rumah kedai itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan lanjut juga mendapati mangsa bukan ditetak sebaliknya kedua-dua mereka ditikam menggunakan senjata tajam dipercayai gunting sekurang-kurangnya di lima bahagian badan termasuk leher dan tangan.

Tambahnya, setakat ini juga, dua suspek warga Myanmar ditahan bagi membantu siasatan termasuk seorang dipercayai suspek utama yang ditahan unit peronda di bahagian tangga bangunan itu dalam keadaan pakaian dipenuhi kesan darah.

Ujar beliau, suspek yang belum dikenal pasti identiti itu turut menyewa di sebuah bilik lain di aras sama dengan kedua-dua mangsa.

“Setakat ini kita masih belum dapat mengenal pasti motif kejadian memandangkan suspek berada dalam keadaan khayal dan kita turut menemukan beberapa pil pada badan mangsa yang kita akan siasat sama ada dadah atau sebaliknya,” kata beliau.

Tambahnya, dengan tertangkapnya suspek utama, kes itu dianggap selesai dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE