Walau bagaimanapun, suruhanjaya itu dalam satu kenyataan memaklumkan, Pejabat Peguam Negara ketika itu memutuskan untuk tidak meneruskan sebarang pendakwaan memandangkan siasatan berkenaan tertumpu kepada sumbangan politik.

"Dasar Pejabat Peguam Negara pada ketika itu menetapkan untuk tidak menuduh kes yang melibatkan sumbangan politik. Namun, SPRM telah mengkaji semula kertas siasatan terhadap Musa beberapa bulan lalu setelah memperoleh maklumat baharu berhubung kes itu.

"Sehubungan itu, SPRM telah mengemukakan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara untuk dikaji semula," kata suruhanjaya itu dalam kenyataannya, di sini hari ini.

Menurut suruhanjaya itu, Peguam Negara kemudiannya memutuskan bahawa Musa berhadapan 35 pertuduhan kes rasuah di bawah Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan beliau telah dituduh pada 5 November lalu.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta SPRM menjelaskan sebab bekas Musa tidak dituduh di mahkamah sebelum ini dan beliau juga tidak melihat keperluan untuk mendesak bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Pada 5 November lalu, lalu bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram menyatakan rasa hairan apabila Musa tidak didakwa lebih awal selepas pemimpin UMNO itu disiasat atas tuduhan rasuah dan ada bukti mencukupi untuk berbuat demikian.

Gopal ialah ketua pasukan pendakwaan yang bertindak bagi pihak Jabatan Peguam Negara dalam kes perbicaraan kes rasuah yang didakwa dilakukan Musa. - UTUSAN ONLINE