Noor Rashid

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan secara terpe­rinci dan mengambil tindakan jika ada mana-mana anggota atau pegawai yang melanggar operasi pematuhan standard (SOP) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita akan siasat apa sebenar­nya berlaku, jika ada keperluan mangsa serta anggota dan pegawai terlibat akan dipanggil untuk membantu siasatan.

“Kalau ada bukti mana-mana anggota yang tidak mengikuti SOP, mereka akan didakwa di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan atas kesalahan melupuskan barang bukti,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Serah Tugas Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam.

Kelmarin, satu surat terbuka daripada seorang mangsa satu kes samun bersenjata berkumpulan di SS19, Subang Jaya pada 20 Februari lalu tular di laman sosial sejak kelmarin.

Mangsa mendakwa telah membuat laporan polis dan mengalami kerugian sebanyak RM53,920 serta sebuah kereta Honda Jazz miliknya turut dilarikan.

Dakwanya, sembilan suspek berjaya ditahan namun berlaku beberapa kecacatan ketika perbi­caraan apabila pegawai penyiasat (I0) cuba membuang kes seperti menyerahkan bahan bukti kepada mangsa, memalsukan tandatangan dokumen kawad cam serta menyuruh mangsa supaya tidak hadir ke mahkamah sehingga kertas siasatan tidak lengkap.

Selain itu, dakwanya lagi, IO serta suspek juga tidak hadir ke mahkamah dan IO kes tersebut juga mengaku tidak menyiasat kes tersebut secara menyeluruh atas alasan penat sehingga kes tersebut ditunda ke bulan Ogos dan tiada apa-apa perkembangan diterima sehingga kini.