Mohamad Fuzi

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya menyedari kes tersebut merupakan kes jenayah berprofil tinggi dan rakyat mahu melihat kesemua individu yang mendalangi kejadian dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin.

Jelas beliau, kertas siasatan kes itu sepatutnya sudah lengkap, namun beberapa kekangan dihadapi polis melewatkan sedikit proses tersebut.

“Antara kekangan itu ialah kita tidak boleh mengambil ke­terangan mangsa yang masih dirawat di hospital. Kita tidak boleh ganggu mangsa sekarang sehingga keadaan mereka ber­ansur pulih.

“Sementara itu, kita perlu dapatkan laporan agensi seperti TNB (Tenaga Nasional Berhad), bomba, Jabatan Kimia dan Forensik. Mereka memerlukan sedikit masa, jadi kita kena akur terhadap tempoh yang diminta sebelum melengkapkan siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian da­lam sidang akhbar selepas me­rasmikan sambutan Hari Inovasi Peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2017 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. dan Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi berkata, desas-desus mengatakan ibu bapa kesemua suspek utama kes akan turut didakwa hanya bersifat spekulasi.

Katanya, ibu bapa suspek tidak mempunyai kaitan dengan kes tersebut dan polis melihat tiada keperluan mendakwa mereka seperti mana dihebohkan di media sosial.

“Itu spekulasi sahaja. Tidak perlu diperbesar-besarkan, saya fikir ibu bapa mereka tidak ada kena-mengena dalam kes ini. Kita kena buat saranan yang adil dan sewajarnya,” ujarnya.