Kerja-kerja penggalian yang bermula kira-kira pukul 8.30 pagi itu selesai sekitar pukul 12.45 tengah hari dan jenazah difahamkan akan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) menggunakan van jenazah untuk proses bedah siasat kali kedua.

Kawasan perkuburan yang menempatkan Allahyarham Nazrin dikawal ketat pihak polis serta wartawan tidak dibenarkan masuk untuk melihat prosedur penggalian tersebut.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili isteri Allahyarham, Samirah Muzzaffar dan ahli keluarga terdekat sahaja dibenarkan masuk.

Pagi tadi, Mahkamah Rayuan Putrajaya menolak permohonan Samirah untuk menangguhkan pelaksanaan perintah penggalian kubur yang dibenarkan Mahkamah Tinggi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Komisioner Fadzil Ahmat dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, bedah siasat kedua ke atas jenazah Nazrin dilakukan susulan terdapat anggota keluarga tidak berpuas hati atas laporan sebelum ini. 

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor mengesahkan kerja-kerja penggalian semula kubur Allahyarham Nazrin telah selesai. - UTUSAN ONLINE.