Pihak pengurusan Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 Kota Damansara ketika ini belum menerima sebarang dokumen arahan menggali semula kubur dari mahkamah.

Namun tinjauan Utusan Malaysia mendapati sebuah kereta peronda polis (MPV) dengan dua anggota tiba di tanah perkuburan tersebut pada pukul 3 petang dan beredar selepas berada di situ kira-kira 30 minit.

Difahamkan, rondaan MPV akan dilakukan pada awal pagi dan petang bagi membuat pemantauan di lokasi berkenaan dan melaporkan sebarang kegiatan atau pergerakan di tanah perkuburan berkenaan.

Terdahulu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, permohonan bedah siasat kali kedua dimohon pada 28 September ini.

Jelasnya, perkara itu dilakukan selepas abang kepada Nazrin membuat laporan polis pada 24 September lalu berikutan tidak berpuas hati dengan laporan bedah siasat yang dikeluarkan pihak patologi, Hospital Kuala Lumpur.

"Permohonan gali semula dilakukan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya dan penggalian semula telah ditetapkan pada Isnin depan (8 Oktober)," ujarnya.

Menurut Fadzil, proses itu dilakukan mengikut prosedur di bawah Seksyen 336 Kanun Tatacara Jenayah. - UTUSAN ONLINE