uhammad Nor Waffiuuddin Mohd Zalmie, 24, berkata, dia sangat terkejut apabila kereta Proton Waja bernombor plat AFN 4019 milik ayahnya yang telah diletakkan di hadapan hotel Bistari Inn dekat Tanjung Mas di sini hilang pada pagi semalam.

Muhammad Nor Waffiuuddin yang berasal dari Sri Manjung, Perak berkata, dia meletakkan kenderaan berwarna kelabu itu di hadapan hotel sebelum mendaftar masuk ke tempat penginapan itu bersama seorang lagi graduan UMK pada pukul 12.30 tengah malam.

“Saya sampai ke Pengkalan Chepa pada pukul 1.30 petang hari Selasa selepas memandu seorang diri selama sembilan jam dari Sri Manjung, Perak.

“Saya meminta izin ayah datang awal dan meminjam keretanya kerana mahu meraikan rakan baik, Amirul Shuib, 24, yang bergraduasi pada petang Selasa, kemudiannya kami keluar makan-makan berjumpa rakan lama sebelum mendaftar masuk ke hotel selepas tengah malam.

“Amirul yang mula-mula perasan kereta hilang semasa dia membuka tingkap bilik hotel dan menjenguk ke tingkat bawah kira-kira pukul 7 pagi, pada mulanya saya ingat dia bergurau tetapi selepas melihat dengan mata kepala sendiri saya terus panik,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui selepas menerima ijazahnya pada hari terakhir Istiadat Konvokesyen UMK Kali Ke 7 di sini hari ini.

Muhammad Nor Waffiuuddin yang merupakan graduan program Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan Hospitaliti kini bertugas sebagai penyelia meja hadapan di Teluk Batik Resort, Lumut, Perak.

Sementara itu, dia memberitahu, imej televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sebuah kedai serbaneka berhampiran hotel menunjukkan seorang lelaki kelihatan menyelinap dari bawah kereta sebelum membuka pintu dan memandu kereta pergi pada pukul 3.15 pagi.

Katanya, selain kehilangan wang RM100 dan dokumen alumni universiti, dia sangat ralat jubah konvokesyen yang sepatutnya dipakai turut hilang bersama kereta itu walaupun pihak universiti telah menggantikan dengan jubah yang lain.

“Saya sedih kerana berasa telah menyusahkan ayah, Mohd Zalmie Awang, 52, dan ibu, Noor Laily Mohamed, 52, pada hari konvokesyen saya sendiri.

“Jika diikutkan hati saya mahu balik terus ke Perak dan tidak mahu naik pentas tetapi ibu yang sampai bersama ayah pagi semalam menenangkan saya semula,”katanya.

Muhammad Nor Waffiuuddin berkata, laporan polis sudah dibuat dan dia berharap sesiapa yang menemui kereta itu dapat menghubungi balai polis terdekat. - UTUSAN ONLINE