Mangsa yang berusia 57 tahun itu menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor Shamsul yang mendakwa mangsa terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram melibatkan jumlah RM530,000 menggunakan akaun Hong Leong Bank atas namanya yang dibuka di Kota Kinabalu, Sabah.

Mangsa dipercayai menafikan perkara itu namun panggilan itu disambungkan kepada seorang lelaki lain yang mendakwa dirinya Inspektor Mazlan dari ibu pejabat Polis Bukit Aman.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki terbabit kemudiannya mengarahkan mangsa membuat pembayaran bagi menyelesaikan perkara itu atau berdepan tahanan reman.

“Mangsa yang panik meminta agar perkara diselesaikan dengan bayaran dan dia memindahkan kesemua wang yang ada dalam akaun simpanannya ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek yang berjanji wang itu akan dikembalikan selepas siasatan selesai.

“Mangsa telah melakukan dua transaksi dalam hari yang sama melibatkan jumlah RM15,000 dan diarahkan untuk memasukkan tambahan RM5,000 lagi ke dalam akaun sama sebelum menyedari dia ditipu dan terus membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - UTUSAN ONLINE