Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Johor, Khairul Anwar Bachok berkata, arahan itu sudah dikeluarkan di semua stesen minyak.

“Kita sudah pun menghantar notis-notis kepada stesen minyak mengenai perkara ini. Kita tidak akan berkompromi, jika ada yang ingkar kita akan batalkan lesen mereka.

“Kita ingatkan pengusaha stesen minyak supaya tidak bersubahat dalam hal ini,” katanya dalam sidang akhbar di stor eksibit KPDNHEP Johor di sini sebentar tadi.

Jelasnya, tindakan juga akan dikenakan terhadap warga asing terbabit dan arahan tersebut bukan baharu malah sudah dikuatkuasakan sejak 2010 lagi.

Dalam pada itu, pihaknya menjalankan pemeriksaan di sebuah premis menjual barang kecantikan dan makanan kesihatan di Bandar Baru Uda, Johor Bahru pukul 11 pagi semalam.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati premis itu membekalkan produk kesihatan tiruan jenama CellMaxx dan 14 kotak dirampas dianggarkan bernilai RM1,680. - UTUSAN ONLINE