Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun tidak memperincikan secara lanjut maklumat berhubung sampel DNA itu, termasuk tarikh diperoleh dan nama negara terbabit.

“Saya tidak boleh mendedahkan nama negara luar itu mahupun butiran DNA yang telah diambil, tetapi hanya boleh memaklumkan pihak berkuasa Malaysia yang telah ke sana (luar negara) untuk mendapatkan sampel anak lelaki mendiang itu.

“Justeru, saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa sampel DNA telah diambil, dibuat perbandingan dengan mayat itu dan memang sah adalah Jong-nam,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid me­ngesahkan identiti mayat Jong-nam dikenal pasti menerusi sam­pel DNA daripada anak mendiang sendiri.

Menurut beliau, proses bagi mengenal pasti mayat individu yang turut mempunyai identiti sebagai Kim Chol itu, juga telah mengikut setiap prosedur forensik.

Hari ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dalam satu sidang akhbar berkata, kerajaan Malaysia telah diberikan kebenaran oleh waris Jong-nam untuk menguruskan mayat.

Katanya, kebenaran itu diberikan ketika pihaknya bertemu waris mangsa tetapi mengelak untuk mendedahkan bila dan di mana pertemuan tersebut berlangsung.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pihaknya juga akan mendapatkan nasihat daripada Peguam Negara, Tan Sri Moha­med Appandi Ali bagi menentukan langkah seterusnya berhubung pengurusan mayat Jong-nam.

“Saya akan semak dokumen kebenaran yang dibuat oleh wa­ris terdekat itu kepada Malaysia melalui Kementerian Luar.

“Memang pihak PDRM akan mengambil keputusan berdasarkan kepada permintaan kerana kedutaan Korea Utara tidak boleh meminta mayat mendiang itu dibawa balik kecuali atas kebenaran waris terdekat berkenaan,” katanya.

Ditanya mengenai status perundingan antara Malaysia dan Korea Utara, beliau berkata, perundingan pe­ringkat pegawai sudah bermula pada Isnin lalu namun belum ada sebarang keputusan dimuktamadkan.