Penolong Pengarah Unit Kesepaduan Sosial dan Integrasi Nasional, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Selangor, Helmy Mohamad Yahya berkata, kempen yang diadakan di daerah itu merupakan siri pertama daripada keseluruhan sembilan siri di semua daerah di Selangor. 

Menurutnya, menerusi kempen itu bermatlamatkan untuk menyedarkan masyarakat tentang bahaya serta kepentingan masyarakat membendung kegiatan jenayah serta keganasan. 

“Di daerah Sabak Bernam, kita dapati sambutan masyarakat setempat amat positif sekaligus menunjukkan komitmen mereka dalam membanteras jenayah serta keganasan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini. 

Hadir sama dalam kempen itu ialah Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Mohd. Imran Tamrin; Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Sungai Besar, Shamsuddin Kontang serta Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, Asisten Superintenden Sujaili Abu Bakar. 

Pada masa sama, Helmy turut memaklumkan kempen itu turut memberi penekanan terhadap usaha mengukuhkan lagi perpaduan masyarakat setempat dari berbilang kaum, agama serta budaya menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS). - UTUSAN ONLINE