Juriza Muda
Juriza Muda

Mayat Juriza Muda , 36 , ditemukan dalam keadaan terbaring di atas tanah bersebelahan kereta miliknya pada pukul 9.30 malam oleh dua orang anggota polis dari Balai Polis Paka yang sedang melakukan rondaan sekitar kampung tersebut.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Baharudin Abdullah ketika mengesahkan menerima laporan berkenaan memberitahu  lelaki yang berasal dari Kuala Berang itu  dalam perjalanan pulang ke kediamannya selepas bermain badminton.

Menurut Baharudin, pada awalnya, anggota polis melihat kereta yang dipandu mangsa berada di dalam keadaan yang mencurigakan dengan lampu dan pintu terbuka .

“Mereka kemudiannya menghampiri kereta tersebut  dan melihat satu jasad di atas tanah bersebelahan sebuah pagar rumah yang dalam proses pembinaan tidak jauh dari kediaman mangsa,” katanya.

“Isteri mangsa kemudian telah mengesahkan bahawa jasad yang terbaring itu adalah mayat suaminya, dan menyatakan suaminya tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan serta tidak menunjukkan sebarang tanda dia mempunyai penyakit,” ujarnya.

Menurut Baharudin, pemeriksaan lanjut terhadap mayat lelaki tersebut  tidak menemui sebarang unsur - unsur jenayah, dan mayatnya kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat. - UTUSAN ONLINE