Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner (ACP) Fazlisyam Abdul Majid berkata, turut ditahan dalam tangkapan antara pukul 5 petang hingga 11 malam di sekitar Bukit Payong adalah anak saudara kepada pekebun itu yang berusia 15 tahun dan rakan mangsa, 37, dengan kesemuanya disahkan positif dadah jenis methamphetamine. 

Katanya, akibat berang melihat pisang miliknya dicuri dipercayai menjadi punca kepada pembunuhan mangsa berusia 42 tahun yang merupakan penganggur.

“Suspek utama mengesyaki mangsa telah mencuri pisang di kebunnya dan perasaan marah membuatkan dia mengambil tindakan melulu hingga menyebabkan kematian. 

“Saya minta masyarakat setempat supaya tidak mengambil tindakan sendiri terhadap apa-apa isu kerana kita ada undang-undang dan agensi penguatkuasa, laporkan kepada pihak polis dan kita janji tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang semalam, mangsa ditemukan mati dalam keadaan tertiarap di bahagian belakang sebuah rumah di Kampung Tebakang. 

Menurut Fazlisyam, suspek utama mempunyai beberapa rekod jenayah lampau termasuk mencederakan, menceroboh dan kes berkaitan dadah. 

Katanya, ketiga-tiga suspek direman selama lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - UTUSAN ONLINE