ALI AHMAD

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, bagaimanapun, pihaknya sedang menyi­asat punca kecederaan bayi berusia lima bulan itu hasil daripada keputusan bedah siasat.

“Siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengetahui bagaimana terdapat kesan retak dan pendarahan dalaman di bahagian kepala mang­sa. Kita juga pergi semula ke lokasi bersama suspek hari ini bagi menjalankan siasatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini, hari ini.

Dalam pada itu, menurut Ali, pihaknya telah mengambil ke­terangan beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut namun tidak dapat mendedahkan identiti individu-individu terlibat kerana tidak mahu mengganggu proses siasatan.

“Selain itu, beberapa barang kes telah diambil termasuk peti sejuk yang dijadikan tempat menyembunyikan mayat mangsa,” ujarnya.

Sementara itu, hasil tinjauan wartawan Utusan Online di lokasi kejadian mendapati kediaman yang disewa oleh suspek di aras atas rumah dua tingkat itu tidak dibenarkan masuk kerana masih menjadi lokasi penyiasatan kes.

Menurut anak kepada pemilik rumah tersebut, polis hari ini telah berkunjung ke rumah terbabit namun dia enggan menjelaskan sebab kehadiran pihak berkuasa itu.

“Saya tidak akan beri apa-apa komen dan mohon pihak media beri ruang kepada kami sekeluarga,” ujarnya.

Kelmarin, polis menemukan mayat Adam Rayqal yang sebelum ini dilaporkan hilang selepas didakwa diambil seorang lelaki di rumah pengasuhnya dalam ke­adaan lengkap berpakaian dan berbalut kain napkin serta dima­sukkan ke dalam beg berwarna hijau di bahagian atas peti sejuk beku dua pintu di rumah berkenaan.

Susulan itu, pengasuh berusia 33 tahun dan rakan serumahnya yang berusia 36 tahun  ditahan dan direman tujuh hari bagi membantu siasatan. - UTUSAN ONLINE