Menurut bapanya, Rosli Lin, 56, kejadian tersebut bukan sahaja mengakibatkan mereka kehilangan anak malah menantunya kehilangan suami yang baru dinikahi tiga bulan.

"Bukan tidak reda, kami terima takdir yang berlaku. Tetapi kami merasa teraniaya dengan apa yang berlaku kerana Mohamad Fandi yang baru bernikah pada Disember tahun lepas tidak melakukan sebarang kesalahan yang boleh menyebabkannya kehilangan nyawa.
 
"Disebabkan itu kami merancang untuk mengambil tindakan undang-undang. Kami amat berharap agar pihak polis dapat menyiasat kejadian ini sebaik mungkin," katanya.

Akhbar melaporkan seorang pemandu terbunuh dalam kemalangan apabila seorang remaja perempuan dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah memandu secara melawan arus lalu merempuh kenderaan mangsa.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.59 pagi itu, mangsa, Mohamad Fandi Rosli, 26, meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 134 Lebuh Raya Utara Selatan dari Seberang Jaya menghala Kepala Batas.

Kemalangan itu turut melibatkan sebuah Proton Gen2, Proton Preve dan sebuah van pekerja. - UTUSAN ONLINE