Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, Mohd. Farid Sabri (gambar), 25, terpaksa menerima lebih 20 jahitan selepas cedera dipukul dengan parang dan kayu oleh kumpulan lelaki berkenaan.

Bapa mangsa, Sabri Chak, 53, berkata, Mohd. Farid dalam perjalanan ke rumah majikannya berhampiran kawasan kilang tersebut untuk mengambil beg pinggangnya yang tertinggal di dalam lori.

“Sebelum keluar dengan menaiki motosikal Honda Wave, dia memaklumkan kepada saya untuk menggunakan laluan tersebut yang merupakan jalan pintas ke rumah majikannya.

“Dia mahu ke sana kerana semua dokumen penting miliknya tertinggal dalam lori di rumah majikannya yang terletak hanya dua kilometer dari rumah kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungkup, Bukit Selambau.

Menurut Sabri, dia menerima berita anaknya cedera dalam kejadian itu setelah dihubungi oleh majikan anaknya yang dikenali sebagai Mahmud.

“Ketika baharu pulang dari masjid, saya dihubungi majikan Mohd. Farid yang memberitahu mereka dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) selepas anak lelaki tunggalnya itu sampai di rumahnya dalam keada­an cedera parah dan berlumuran darah.

“Setelah bertemu Mohd. Farid, dia memberitahu yang dirinya dipukul dan ditetak sekumpulan lelaki selepas menegur mereka yang menghadang laluannya,” ujarnya.