Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, suspek berusia 34 tahun yang dipercayai dijadikan keldai dadah itu ditahan sepasukan polis bahagian Siasatan Jenayah Narkotik KLIA pada pukul 8.20 pagi Isnin lalu.

Beliau berkata, hasil siasatan ke atas suspek, sebanyak 40 buah kotak manisan ditemukan di dalam sebuah bagasi dan 38 daripada kotak tersebut tersorok dadah yang diisi di dalam plastik lutsinar.

“Siasatan awal mendapati suspek membawa bagasi berisi dadah itu dari Mumbai menaiki pesawat Malindo Air ke Kuala Lumpur.

“Suspek mendakwa telah diarah untuk membawa bagasi tersebut kepada seseorang yang tidak dikenalinya di negara ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz memberitahu, suspek yang mendakwa sebagai pemilik kedai telefon bimbit di India telah memasuki Malaysia atas urusan perniagaan sebanyak tiga kali menggunakan visa lawatan sosial.

Katanya, berdasarkan peme­riksaan, suspek yang berasal dari Chennai itu sepatutnya pulang ke Mumbai dengan menaiki Malindo Air pada hari ini.

Tambahnya, suspek kini direman selama tujuh hari sejak Isnin lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung mandatori.