Timbalan Ketua Polis daerah, Superintenden Yazri Ismail berkata, tindakan pantas polis menahan kesemua ahli ‘kumpulan Iriz’ merupakan hasil bantuan penduduk setempat yang bertindak menyalurkan maklumat bagi mengenal pasti identiti mereka.

“Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari ketika rumah tersebut tidak berpenghuni. Terdapat jiran yang menyedari perbuatan mereka lalu memaklumkan kejadian tersebut ke dalam aplikasi Whatsapp kumpulan kejiranan itu.

“Menyedari hal itu, pemilik rumah tersebut yang merupakan seorang guru segera pulang. Berbekalkan maklumat diberikan jiran termasuk nombor plat kereta digunakan, dia membuat laporan polis sebelum kami berjaya menahan keempat-empat suspek di sebuah hotel di Bukit Mertajam, Pulau Pinang kira-kira pukul 10 malam tadi,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kesemua suspek ditahan berusia antara 17 hingga 32 tahun dan berasal dari daerah ini.

Ketika ditahan, beberapa barangan yang dicuri dari rumah tersebut turut ditemukan semula bersama mereka antaranya barangan kemas, wang tunai termasuk syiling, telefon bimbit serta komputer riba turut ditemukan di dalam bilik hotel dan kereta Proton Iriz yang disewa.

Yazri menambah, kesemua barangan yang dicuri dianggarkan bernilai kira-kira RM35,000.

“Dengan tertangkapnya kumpulan ini yang dipercayai mula bergiat aktif sejak setahun lalu, kami percaya menyelesaikan lebih 20 kes pecah rumah yang berlaku di sekitar sini.

“Siasatan mendapati mereka akan berpura-pura memanggil peng­huni rumah dan apabila sesebuah rumah tersebut dipastikan kosong maka mereka akan memecah masuk untuk mencuri,” katanya.

Katanya, ketiga-tiga lelaki tersebut didapati positif dadah jenis methamphetamine dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.