Namun, Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kejayaan pelan tersebut bergantung kepada kelancaran pelaksanaannya yang menuntut keazaman politik dan komitmen seluruh rakyat Malaysia.

“NACP mengandungi matlamat yang tinggi untuk menjadikan Malaysia bebas rasuah pada tahun 2023. Kerajaan harus menunjukkan kepimpinan me­lalui teladan dan tidak boleh bertole­ransi terhadap semua bentuk rasuah.

“Pelaksanaan pe­lan lima tahun tersebut perlu dipantau dengan berkesan di setiap peringkat. Penguatkuasaan per­lu dibuat tanpa rasa takut atau mempu­nyai kepentingan ba­gi memastikan kejayaan pelan tersebut,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

NACP dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu majlis di Putrajaya semalam.

Tambah Lam Thye lagi, media perlu memainkan peranan mempromosikan NACP seiring dengan usaha kerajaan meng­adakan kempen ke­­se­daran dalam kalangan jabatan dan agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan segenap lapisan masyarakat.

“Perjuangan menentang rasuah juga mesti melibatkan se­mua pihak dan setiap orang mempunyai peranan ma­sing-masing. Untuk membentuk budaya antirasuah, kita perlu mendidik golongan muda me­ngenai bahaya rasuah dari peringkat tadika hingga ke universiti.

“Kita perlu mengamalkan to­leransi sifar terhadap rasuah dan pegangan ini mesti dipromosikan di seluruh negara menggunakan segala sumber yang ada,” katanya.