Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, pihaknya mengesahkan kejadian berkenaan tidak berlaku selepas siasatan dilakukan termasuk pengesahan pihak hospital.


“Murid yang dikatakan menjadi mangsa telah dibawa menerima pemeriksaan dengan pakar. Setakat ini apa yang diviralkan sebenarnya, isunya itu cerita pemeriksaan awal apabila 
mereka bawa (murid) kepada doktor. 


“Selepas pemeriksaan rapi dengan doktor pakar memang tidak wujud apa yang diviralkan. Isu yang diviralkan adalah pekerja sekolah nampak beberapa budak lelaki dan perempuan dalam 
bilik air,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Apresiasi Keselamatan Untuk Kesejahteraan Awam di Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di sini sebentar tadi.


Yang turut hadir Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din dan Pengerusi Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) negeri, Mohd. Shaman Jaes.


Mohd. Khalil berkata, menerusi siasatan rapi pihaknya, kanak-kanak berkenaan yang dihantar untuk pemeriksaan mendapati laporan perubatannya tiada berlaku kejadian rogol.


Terdahulu, tular satu laporan polis berhubung kejadian itu yang mana dikatakan berlaku dalam sebuah bilik air di sebuah sekolah dalam bandar raya ini.


Menerusi laporan itu, kanak-kanak berkenaan pada mulanya dibawa ibunya untuk membuat pemeriksaan di Hospital Sultan Ismail (HSI) kerana disyaki dirogol.


Berdasarkan keterangan ibunya, pihak sekolah memaklumkan anaknya ditemukan berada dalam tandas pelajar lelaki bersama-sama tiga rakan sekelasnya oleh tukang cuci sekolah. - UTUSAN ONLINE