Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata, kumpulan berkenaan yang dianggotai 11 ahli itu sebelum ini disahkan giat menjalankan aktiviti penculikan sejak 2014 sehingga 2015.

“Bagaimanapun, kita boleh sahkan kegiatan KFR kumpulan ini hampir lumpur setelah seorang ahli mereka ditembak mati oleh pasukan Esscom semalam.

“Pasukan keselamatan negara dengan kerjasama Filipina dan Indonesia kini memburu seorang lagi anggota kumpulan itu yang masih bebas dan dipercayai berada di Selatan Filipina,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pelaksanaan Inisiatif Dialog Bersama Pesara Polis Sabah di Auditorium Ibu pejabat Polis Sabah (IPK) Kepayan, di sini hari ini.

Majlis itu dihadiri kira-kira 60 pesara polis yang telah berkhidmat selama 40 tahun bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah.

Semalam, pasukan Esscom menembak mati seorang penjenayah dikenali sebagai Abu Paliyak atau Komander Paliyak, 31, di perairan Silam, Lahad Datu, berhampiran Pulau Kantung Kalungan.

Suspek yang menyamar sebagai nelayan dipercayai terlibat dalam beberapa kes rompakan dan penculikan di laut kawasan perairan Kunak dan Lahad Datu sekitar 2014. – UTUSAN ONLINE