Malah Duta Besar Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol turut mempersoalkan kredibiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana tidak mampu menyelesaikan siasatan meskipun sudah ma­suk tujuh hari kematian lelaki terbabit.

“Sudah seminggu sejak kejadian (pembunuhan) itu berlaku, namun sehingga kini tiada bukti kukuh berkaitan punca kematian. Kami tidak boleh lagi percaya kepada siasatan PDRM.

“Kami menggesa supaya satu siasatan bersama dilakukan agar kes ini dapat diselesaikan,” katanya ketika ditemui di hadapan Kedutaan Korea Utara di sini hari ini.

Terdahulu, Kementerian Luar telah memanggil Kang Chol supaya memberi penjelasan berhubung tuduhan beliau terhadap Malaysia dengan mendakwa pihak berkuasa cuba menyembunyikan sesuatu, selain berpakat dan bersekongkol dengan kuasa-kuasa luar dalam pengendalian kes kematian Jong-nam.

Dalam pada itu, Kang Chol menyatakan sekiranya Malaysia bersetuju untuk bekerjasama dengan Korea Utara, pihaknya akan menggunakan khidmat guaman bagi membantu membongkar punca sebenar kejadian.

“Kerajaan Malaysia meminta kami menghormati undang-undang negara ini tetapi dalam kes ini, undang-undang antarabangsa perlu dipraktikkan bagi menyelesaikan kes secara teliti dan adil,” ujarnya

Sementara itu, Kang Chol turut menuduh Korea Selatan terlibat dalam kes pembunuhan tersebut ekoran media negara itu melaporkan terlebih dahulu berita kematian Jong-nam berbanding media lain

Jelasnya, situasi itu menunjukkan Korea Selatan sebenar­nya mengetahui identiti Jong-nam biarpun laporan medianya menggunakan nama Kang Chol untuk menggambarkan lelaki warga Korea Utara itu.

“Bagaimana mereka (Korea Selatan) boleh menyiarkan be­rita kematian itu sedangkan Korea Utara masih belum dimaklumkan mengenainya,” ujarnya.