Menerusi serbuan Ops Dadu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor itu juga mendapati penganjur menghidangkan minuman keras bagi menarik pelanggannya.

Malah, penganjur menawarkan wang taruhan perjudian serendah RM10 bagi menarik ‘kaki judi’.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintenden Azmi Syukor berkata, serbuan bermula kira-kira pukul 12 tengah malam selepas pihaknya menerima maklumat tentang kegiatan premis tersebut sejak sebulan lalu.

“Premis ini merupakan kedai arak namun dijadikan sebagai tempat perjudian. Serbuan yang dilakukan berjaya menahan 23 kaki judi ketika sedang berjudi daun terup bersama dua penjaga yang kesemuanya berusia lingkungan 50 hingga 70-an.

“Siasatan mendapati, premis ini aktif melakukan kegiatan judi pada waktu petang sehingga tengah malam dan pemain yang berjudi turut dihidangkan dengan arak,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, Azmi berkata, hasil siasatan juga mendapati selain menghidangkan arak, penganjur menawarkan wang pertaruhan serendah RM10.

“Hanya pelanggan tetap dan warga tua dari penduduk tempatan yang dikenali sahaja dibenarkan memasuki premis ini. Pelbagai barangan turut dirampas antaranya lapan buah kerusi, dua meja, 114 keping daun terup dan wang tunai RM3,115.

“Kesemua mereka di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 7(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE