WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR

Katanya, beliau memandang serius insiden anggota jabatan itu ditembak di Hutan Simpan Dungun apabila ia melibatkan pegawai kerajaan yang menjalankan tugas melindungi khazanah hutan negara.

“Kejadian ini merupakan satu insiden yang tidak boleh dipandang ringan dan saya agak terkilan apabila adanya individu yang berani mencede­rakan pihak penguat kuasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu dan kementerian akan memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kejadian itu agar dalangnya dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman yang setimpal dengan kesa­lahan yang dilakukan.

Katanya, beliau dimaklumkan seramai 10 anggota Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu telah menjalankan operasi pe­nguatkuasaan di Kampung Serdang, Dungun dan telah menjumpai sebuah jengkaut dan dua tual balak jenis kapur di dalam tanah pertanian berhampiran Hutan Simpan Bukit Bauk.

Wan Junaidi berkata, semakan lanjut mendapati kayu tersebut ditebang di dalam Hutan Simpan Bukit Bauk bersebelahan tanah tersebut dan penguat kuasa bertindak menyita sebuah jengkaut.

Bagaimanapun, katanya, ketika kerja-kerja untuk membawa keluar jengkaut tersebut dilakukan hari ini, secara tiba-tiba tiga das tembakan kedengaran.

“Dua angota telah terkena peluru tabur melibatkan pegawai Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu dan seorang meka­nik,” katanya.

Tambahnya kesan luka pada kedua-dua mangsa dipercayai tidak serius dan mereka telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. – BERNAMA