Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, operasi di kawasan tanah tinggi itu terbahagi kepada dua fasa iaitu fasa pertama bermula Februari lalu dan fasa kedua pada April ini.

“Fokus penguatkuasaan kali ini ialah ke atas pencerobohan yang berlaku di rizab sungai dan rizab jalan yang berada dalam kawasan tadahan air di Kuala Terla khususnya Sungai Ichat di bawah Mukim Ulu Telom.

“Jadi operasi pada kali ini terpaksa dilakukan bagi mengelakkan kawasan tadahan air untuk muka sauk Ipoh Road di Kuala Terla daripada terus tercemar dengan aktiviti pertanian akibat penggunaan racun dan baja,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Kenduri Sekampung di pekarangan Masjid Sultan Abu Bakar di sini, hari ini.

Menurut Wan Rosdy, keputusan melancarkan operasi itu ekoran mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Penguatkuasaan Daerah Cameron Highlands yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak.

Katanya, operasi fasa pertama yang dimulakan pada 25 Februari lalu melibatkan 11 buah kebun haram manakala operasi kedua melibatkan 50 kebun haram.

Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan siasatan individu terbabit yang membuka kebun berkenaan telah menceroboh tanah kerajaan sejak 2009 tanpa membayar lesen kepada kerajaan negeri.

“Sungguhpun notis pernah dikeluarkan tetapi mereka masih meneruskan aktiviti, maka tempoh tujuh hari yang diberikan kali ini adalah dikira munasabah,” ujarnya.