Dalam serbuan pada pukul 10 pagi itu, pemandu lori yang membawa kotak rokok mengandungi 1.2 juta batang itu bertindak meninggalkan kenderaannya di tengah jalan untuk melarikan diri selepas dikejar lebih lima kilometer.

Pengarah Kastam negeri, Aidid Tajuddin berkata, pihaknya menerima maklumat tentang kegiatan membawa masuk rokok seludup yang akan melalui negeri ini dari Thailand pada Jumaat lalu.

"Kemungkinan mengetahui sedang diburu, pemandu dipercayai bersembunyi di sempadan Kelantan-Terengganu selama tiga hari sebelum dikesan berada di Kuala Nerus, pagi semalam.

"Walaupun menukar modus operandi dengan bergerak pada waktu siang dan melalui Lebuh Raya Pantai Timur 2 namun ia gagal untuk mengaburi mata pasukan penguat kuasa KDRM," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati rokok yang dibungkus dalam kotak berwarna merah dan hijau itu dipercayai belum lulus Kastam melibatkan duti dan cukai berjumlah RM768,960.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman didenda maksimum 20 kali ganda nilai barangan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE