Pengarah JKDM negeri, Datuk Janathan Kandok berkata, kapal kontena milik syarikat tempatan yang membawa kesemua sisik tenggiling itu ditahan di Pelabuhan Sepanggar, di sini pada 29 Julai lalu.

“Kita telah menahan seorang lelaki Cina berumur 43 tahun yang juga pemilik syarikat tersebut dan siasatan awal kastam mendapati sisik tenggiling itu adalah untuk pasaran China.

“Pemeriksaan ke atas kapal itu mendapati sebanyak 226 guni yang mengandungi sisik tenggiling diletakkan di dalam dua buah kontena di situ,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Kastam Sabah, di sini hari ini.

Janathan berkata, sisik haiwan eksotik itu diperolehi dari negara jiran dan dianggarkan sebanyak 16,000 ekor tenggiling dibunuh untuk mendapatkan sisiknya bagi kegunaan perubatan dan makanan.

Mengulas lanjut mengenai kes itu, beliau berkata, pada awalnya suspek cuba mengaburi anggota kastam dengan mengisytiharkan barangan yang dibawa adalah cengkerang.

Bagaimanapun, setelah pemeriksaan dilanjut dibuat, anggota JKDM akhirnya menemukan sisik tenggiling yang diletakkan di bawah cengkerang tersebut.

Menurut Janathan, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a), Akta Kastam 1967 kerana mengeksport barangan larangan dan jika sabit kesalahan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. - UTUSAN ONLINE