Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Zulkifli Yahya berkata, dalam serbuan di Gudang Pos Aviation, Pusat Perdagangan Bebas (FCZ) KLIA pada pukul 1 pagi semalam, pihaknya merampas 25 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine bernilai RM1.7 juta.

Beliau berkata, pihaknya me­rampas lima kotak barangan yang diikrar sebagai perkakas dapur namun selepas diperiksa, dua daripada kotak tersebut me­ngandungi 25kg dadah yang disorokkan dalam enam bekas air.

“Hasil pemeriksaan mendapati dua daripada lima kotak yang dirampas mengandungi enam bekas air anti karat sebelum me­nemukan dadah jenis methamphetamine.

“Kotak itu tiba melalui pe­nerbangan Thai Airways dari Uttar Pradesh, India ke KLIA, tiada alamat khusus diletakkan untuk kelima-lima kotak berkenaan melainkan Gudang Pos Aviation sebagai alamat terakhir,” katanya dalam sidang yang turut dihadi­ri Pengarah JKDM KLIA, Datuk Hamzah Sundang di sini hari ini.

Menurut Zulkifli, pihaknya sedang menyiasat sama ada kes tersebut melibatkan orang dalam atau sebaliknya.

“Kita juga ada berhubung de­ngan syarikat penghantar bara­ngan dari India namun mereka enggan memberikan kerjasama malah gagal memberikan maklumat tepat siapa penerima barangan tersebut di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau me­minta orang ramai memberikan kerjasama kepada JKDM de­ngan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubu­ngi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855.

“JKDM memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan manakala ganjaran dalam bentuk wang tunai akan diberikan bagi setiap maklumat yang berjaya menghasilkan kes,” ujarnya.