Itulah taktik sindiket yang cuba menyeludup masuk 1.54 juta biji dadah jenis erimin 5 dari Taipei yang bernilai kira-kira RM23.115 juta yang dipercayai untuk diedarkan di negara ini.

Bagaimanapun helah sindiket terbabit terbongkar selepas Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang memeriksa 12 kotak mencurigakan yang tiba di Zon Perdagangan Bebas Kargo MAS Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), 14 Disember lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Zulkifli Yahya berkata, kejayaan rampasan tersebut merupakan kes terbesar di negeri itu untuk tahun ini.

Jelasnya, hasil maklumat awam dan risikan itu turut membawa kepada penahanan dua lelaki yang bekerja sebagai ejen penghantaran bagi membantu siasatan kes itu.

“Kedua-dua mereka yang berusia 18 dan 34 tahun ditahan ketika sedang menguruskan kemasukan kotak-kotak terbabit dan kini direman selama 12 hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Selain itu, pada hari ini juga seorang lagi suspek yang dipercayai ada kaitan dengan syarikat penghantaran terbabit ditahan ketika memberi keterangan di pejabat Kastam di sini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Zulkifli, pihaknya masih menyiasat pihak yang membawa masuk barangan itu sama ada melalui orang perseorangan atau syarikat tertentu.

Sehubungan itu, beliau me­min­ta orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan kes-kes penyeludupan dadah dan lain-lain barangan agar menyalurkan maklumat kepada JKDM di talian bebas tol 1-800-88-8855.