Pengarahnya, Datuk Johari Alifiah berkata, serbuan itu dilakukan pasukan Penguatkuasaan Kastam Cawangan Alor Setar selepas membuat intipan selama seminggu selepas mendapat maklumat berhubung kegiatan tersebut.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan, kita menjumpai sejumlah rokok putih jenama Concept yang didapati mempunyai setem cukai palsu dan disyaki tidak berkastam.

“Ketika serbuan, tiga lelaki yang dipercayai pekerja premis berkenaan membuat persiapan sebelum mengedarkan rokok tersebut,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Kata beliau, jumlah rokok yang dirampas adalah sebanyak 2.5 juta batang yang dianggarkan bernilai RM367,500 dengan cukai kira-kira RM1.65 juta.

“Rokok-rokok ini sengaja disembunyikan di dalam guni putih tertera tulisan 'Wheat Bran' dan 'Wheat Pollar’ sebelum diedarkan ke premis perniagaan termasuk kedai runcit bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” ujarnya.

Menurut Johari, rokok tidak berkastam biasanya dijual lebih murah iaitu pada harga antara RM3 hingga RM4 sekotak berbanding rokok yang dijual secara sah pada harga RM10 hingga RM12 sekotak.

Katanya, dua suspek merupakan warga tempatan berusia 36 dan 44 tahun manakala seorang warga Indonesia yang berstatus penduduk tetap berusia 45 tahun dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM20,000 setiap seorang.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana disyaki menyimpan barang-barang tidak berkastam," katanya. - UTUSAN ONLINE