Pengarah JKDM Kedah, Datuk Johari Alifiah berkata, bertindak atas maklumat sepasukan pegawai Kastam Cawangan Penguatkuasaan Sungai Petani membuat serbuan di kawasan itu pada 12 April lalu kira-kira pukul 3 petang.

“Rokok kretek pelbagai jenama berjumlah 1.2 juta batang dengan nilai cukai sebanyak RM579,936 disita bersama lori bermuatan lima tan itu. Nilai barang muatan dalam lori tersebut dianggarkan RM168,000.

“Pemandu lori tersebut direman selama 14 hari untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Turut hadir Penolong Kanan Pengarah Kastam Negeri Kedah, Mohamad Razay Ariffin dan Ketua Kastam Sungai Petani, Mohd Sukri Jusoh.

Katanya, ketika operasi itu anggota kastam melakukan pemeriksaan terhadap pemandu lori setelah berjaya mengekorinya dan mendapati lori berkenaan membawa rokok kretek pelbagai jenis tidak bayar cukai kastam.

Johari memberitahu, ini adalah rampasan rokok seludup yang terbesar dapat dilakukan di negeri ini.

“Kes seperti ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda minimum 10 kali ganda nilai kastam atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. - UTUSAN ONLINE