Menurut laman sesawang Marine Traffic, kapal tersebut berlepas dari Pelabuhan Klang pukul 10.18 pagi semalam yang mengambil masa perjalanan kira-kira lapan jam dengan kelajuan 8.6 knot.

Perkembangan itu menimbulkan tanda tanya berikutan kapal tersebut kini dalam proses bidaan kepada mereka yang berminat memilikinya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor mengesahkan kapal tersebut telah belayar dari Pelabuhan Klang ke Langkawi, semalam.

Ketika ditanya mengapa kapal mewah itu belayar ke Langkawi, Mazlan meminta bertanyakan soalan tersebut kepada kerajaan.

Seorang pemilik akaun Facebook yang hanya dikenali sebagai Tun Carlos memuat naik status kapal berkenaan yang dipercayai berada di Langkawi.

Dalam status Tun Carlos itu turut disertakan dua keping gambar kapal berkenaan di sebuah pelabuhan di Langkawi.

"Cantikkan pemandangan Gunung Raya, Langkawi daripada sini? Kalau layan view (pemandangan) Langkawi dari atas kapal mewah yang hanyut dari Pelabuhan Klang tu lagi cantik kan. Hmmm...bestnya kalau aku ni cucu Perdana Menteri..." dakwa Tun Carlos.

Sebelum itu, pada 26 Oktober lalu, Terma dan syarat berhubung proses penjualan kapal mewah, Equanimity berjaya diselesaikan di Mahkamah Tinggi (Admiralti) Kuala Lumpur.

Peguam Ong Chee Kwan bersama barisan peguam yang menuntut hak bagi kerajaan ke atas Equanimity memberitahu, perkara berbangkit itu dapat diselesaikan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Khadijah Idris bagi mendapatkan arahan mahkamah berhubung penjualan aset tersebut, iklan dan proses membida.

Proses membida Equanimity akan bermula Isnin ini dan berakhir 28 November ini. - UTUSAN ONLINE