Mangsa berusia lima tahun difahamkan dijaga ibu saudara itu setelah ibu bapanya bercerai.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Jimmy Panyau berkata, pihak­nya menerima maklumat daripada doktor Hospital Mukah mengenai mangsa yang sedang menjalani rawatan di hospital itu, disyaki didera.

Katanya, mangsa dipercayai dipukul dengan kayu sehingga mengakibatkan tangan kanannya patah.

“Hasil pemeriksaan, doktor mendapati mangsa turut mengalami lebam pada bahagian muka, dada, belakang badan dan kaki.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati kulit pada bahagian atas kemaluan mangsa terkupas, disyaki didera,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, susulan aduan itu, polis menjalankan serbuan dan menahan ibu saudara mangsa berusia 25 tahun di rumah berkenaan pada pukul 12.25 tengah hari semalam.

“Hasil soal siasat setakat ini, suspek mengaku ada memukul mangsa menggunakan tangan dan penyangkut baju sejak beberapa hari lalu.

“Suspek mengaku kali terakhir memukul mangsa semalam dengan menggunakan penyangkut baju,” jelasnya.

Jimmy berkata, mangsa telah dibawa ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.