Hari ini warga emas ber­usia 68 tahun itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mencabul mangsa di sebuah rumah di Lukut dekat sini, tiga tahun lalu.
Tertuduh bagaimanapun me­ngaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik sahaja pertuduhan selesai dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Siti Khairiah Abd. Razak.

Mengikut pertuduhan, warga emas itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang berusia empat tahun semasa kejadian dengan maksud mencabul kehormatannya di sebuah rumah di Rumah Rakyat Pekan Lukut di sini antara Januari hingga Jun 2015.

Timbalan Pendakwa Raya, A. Ashwini mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Pihak pendakwaan menawarkan wang jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penja­min sementara menunggu se­butan kes pada 17 Disember ini.

Mengikut laporan media sebelum ini, kanak-kanak tersebut meninggal dunia akibat ditendang di dada oleh ibu tirinya berusia 43 tahun di Taman Lukut Makmur pada 7 Ogos 2015.

Pada April 2017, Mahkamah Tinggi Seremban menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap wanita tersebut setelah dia mengaku bersalah menyebabkan kematian mangsa tanpa niat.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada November tahun sama menambah hukuman penjara kepada 15 tahun terhadap bekas operator pengeluaran wanita itu setelah membenarkan rayuan pihak pendakwaan.