SEBARAN 'Nur Alert' mengenai kehilangan Muhammad Zahiruddin Putra Mohd. Fauzi, 8, yang dilaporkan hilang sejak pukul 6 petang semalam di Pangsapuri Seri Dahlia, Bandar eri Putra, Bangi, Selangor.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa, Muhammad Zahiruddin Putra Mohd. Fauzi yang dibuat bapanya pada pukul 12.45 tengah malam tadi.

“Menurut bapanya yang berusia 44 tahun itu, mangsa dipercayai keluar dari rumah melalui pintu hadapan dengan membuka kunci sendiri sebelum mencampakkannya semula ke dalam rumah.

“Kali terakhir bapa mangsa melihatnya adalah sekitar pukul 6 petang semalam ketika kanak-kanak tersebut sedang bermain di taman permainan dalam keadaan hujan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ahmad Dzaffir, siasatan awal pihak polis mendapati tiada sebarang masalah berlaku di rumah dan ini merupakan kali pertama mangsa tidak pulang ke rumah.

Tambahnya, kes diklasifikasikan sebagai ‘Orang Hilang’ dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta untuk menghubungi mana-mana balai polis yang berdekatan atau boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, Sarjan Farah Nadia Mohd. Hashim di talian 012-3600232,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE