Jurucakap jabatan itu berkata, pihaknya sudah bertemu kanak-kanak itu yang kini sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) semalam dan keadaannya dilaporkan stabil.

“Kes kanak-kanak ini sedang dalam perhatian JKM dan kita akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut bidang kuasa jabatan ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Media hari ini melaporkan kanak-kanak seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun melecur selepas dipercayai disimbah air panas oleh bapanya kerana dikatakan mencuri RM10 dari ibunya.

Dalam kejadian Jumaat lalu itu, kanak-kanak berkenaan mengalami luka melecur sebanyak tiga peratus pada bawah lengan kanan, rusuk kanan dan sisi dada kanan.

Dalam pada itu, wakil JKM pagi ini turut mengunjungi rumah keluarga mangsa bagi mendapatkan gambaran dan situasi sebenar keadaan keluarga berkenaan.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di rumah keluarga berkenaan pula mendapati tiada sesiapa di situ dan rumah berkenaan berkunci.

Bagaimanapun, dua adik lelaki mangsa dijaga nenek mereka yang tinggal di unit berhadapan rumah keluarga berkenaan. - UTUSAN ONLINE