Muhammad Razeen Mohd. Rashidi dimasukkan ke Hospital Serdang dalam keadaan kritikal selepas terlibat dalam kejadian langgar lari di Serdang, kelmarin.

Kejadian pukul 1.30 petang itu berlaku ketika mangsa, Muhammad Razeen Mohd. Rashidi dipimpin oleh ibu saudaranya berusia 41 tahun untuk melintas jalan sebelum terlibat dalam insiden tersebut.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, mangsa bagaimanapun terlebih dahulu berlari ke jalan raya sebelum dilanggar oleh sebuah kereta.

“Kereta yang melanggar kanak-kanak tersebut dipercayai meneruskan perjalanan tanpa memberhentikan kenderaannya sejurus selepas kejadian.

“Keadaan kanak-kanak itu dilaporkan kritikal akibat kecederaan serius di bahagian tubuh badan dan terdapat pendarahan di dalam otak,” katanya di sini hari ini.

Jelas Megat Mohamad Aminuddin, ibu saudaranya bagaimanapun tidak dapat mengesan kenderaan yang dipandu suspek dalam kejadian tersebut

Katanya, buat masa ini, usa­ha mengesan pemandu yang terlibat dalam insiden berkenaan masih dijalankan.

“Mangsa kini masih menerima rawatan di Hospital Serdang dekat sini dan ke­adaannya dilaporkan telah stabil namun masih dirawat di hospital.

“Kita berharap agar orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu dapat memberikan maklumat untuk tujuan siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.