Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, kejadian itu disedari pengasuh dan guru tadika kanak-kanak terbabit yang membuat laporan polis selepas melihat kesan rotan dan lebam akibat ditampar di muka dan bibir mangsa.

“Kita menerima laporan daripada pengasuh mangsa kira-kira pukul 6.30 petang, 16 April lalu dan turut menerima aduan sama daripada guru tadika mangsa pada pukul 8.53 pagi, sehari kemudian. Mangsa yang tinggal bersama ibu dan suspek, mendakwa dirotan dan ditampar bapa tirinya.

“Bertindak atas maklumat, kami telah menahan suspek di Taman Perumahan Rakyat Lima Kedai, Gelang Patah, pada pukul 9.30 malam tadi dan merampas sebatang rotan berukuran 74 inci,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis (IPD) Iskandar Puteri, di sini sebentar tadi.

Katanya, hasil siasatan, suspek berusia 27 tahun yang telah berkahwin dengan ibu mangsa berusia 28 tahun sejak dua tahun lalu dan mengaku menampar dan merotan mangsa sejak Oktober tahun lalu kerana mendakwa degil dan tidak pandai belajar.

Ibu mangsa yang merupakan pembantu klinik bagaiamapun mendakwa tidak tahu mengenai perbuatan suspek.

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 24 April ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntuk hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali. - UTUSAN ONLINE