Itulah kesengsaraan yang ditanggung seorang kanak-kanak perempuan keturunan Indonesia berusia empat tahun sembilan bulan dikenali sebagai Nur Amira sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, Petaling Jaya dekat sini semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisio­ner Mohd. Zani Che Din berkata, pihaknya menerima laporan daripada jiran pada pukul 4 petang yang memaklumkan terdengar suara mangsa menangis kesakitan serta suara seorang wanita menjerit menyuruh ka­nak-kanak itu diam.

Katanya, berdasarkan laporan, sepasukan anggota polis peronda kemudian datang ke rumah mang­sa di Jalan PJS 8/14, Petaling Jaya, dekat sini untuk melakukan pemeriksaan namun mangsa telah dibawa ke hospital.

“Mangsa yang dalam keadaan lemah dan tidak sedarkan diri kemudian disahkan mening­gal dunia pada pukul 4.30 petang dan pemeriksaan terhadap badan kanak-kanak itu mendapati terdapat banyak kesan lebam dan cedera.

“Punca kematian akan ditentukan selepas proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenya­taan di sini hari ini.

Mohd. Zani menjelaskan, jiran-jiran memaklumkan mang­sa sering didera keluarga angkat dan pengasuhnya selain pernah melihat kanak-kanak itu berjalan terhincut-hincut dengan kesan lebam di badan.

“Susulan itu, kita telah menahan keluarga angkat mangsa yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 23 dan 57 tahun pada pukul 9 malam hari kejadian,” ujarnya.

“Kesemua tangkapan merupakan warga tempatan dan mereka ditahan reman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” ujarnya.