Dalam kejadian pada pukul 2.30 petang itu, mangsa, Mohd Fadil Abdullah, 27, dikatakan menggunakan bom itu untuk menangkap ikan bersama sekumpulan rakannya di Sungai Suam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, bom yang dipasang mereka tidak meletup menyebabkan mangsa cuba untuk melihat bom terbabit secara dekat.

“Ketika itu, bom tersebut meletup dan letupan terbabit kena pada mangsa menyebabkan dia mengalami kecederaan parah iaitu putus pergelangan tangan kanan, manakala tapak tangan, lengan kiri dan rahang serta kedua-dua kakinya pula hancur.

“Mangsa dibantu rakannya dibawa keluar dari kawasan itu dan dihantar ke Hospital Jeli sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Beliau berkata, setakat petang tadi, pihaknya belum menerima laporan dan masih menunggu keadaan mangsa pulih bagi mengambil keterangan untuk menjalankan siasatan.

Kes berkenaan turut tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp sejak semalam apabila gambar kecederaan mangsa dikongsi netizen. -UTUSAN ONLINE