Menyifatkan tindakan itu sebagai tidak matang, calon BN Parlimen P.108 Shah Alam, Datuk Azhari Shaari sebaliknya meminta polis menyiasat kewujudan kain kedua-dua rentang berkenaan yang memaparkan wajah seorang calon PKR masing-masing beserta dengan perkataan ‘Polis Malaysia Anjing’ dan ‘Polis Anjing Kepada Kerajaan’. 


Tegas Azhari, beliau tidak menolak kemungkinan kain rentang itu sengaja dinaikkan oleh tidak bertanggungjawab dengan niat untuk memesongkan pemikiran para pengundi kononnya ia adalah perbuatan daripada BN yang mengamalkan politik kotor. 


“Saya percaya kedua-dua kain rentang itu digantung sempena pengundian awal membabitkan anggota pasukan keselamatan yang berlangsung hari ini. Saya difahamkan lokasinya kain rentang itu diletakkan tidak jauh daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor. 


“Namun, saya tegaskan bahawa BN tidak pernah mengamalkan politik kotor seumpama itu, sebaliknya kita mengamalkan kempen secara berhemah. Mungkin ada pihak merasa tergugat dan terdesak untuk mencari sokongan pengundi sehingga bertindak melampaui batas seperti itu,” katanya ketika ditemui selepas meninjau pusat pengundian awal di Dewan IPK Selangor di sini hari ini. 


Yang hadir sama ialah calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) N.40 Kota Anggerik, Jumaeah Masdi dan calon BN DUN N.41 Batu Tiga, Datuk Ahmad Mua’adzam Shah Ya’akop. 


Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor ketika ditemui berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan mengenai kewujudan kedua-dua kain rentang berkenaan yang dipercayai digantung tengah malam semalam atau awal pagi ini. 


Jelasnya, pihaknya menerima maklumat mengenai kedua-dua kain rentang tersebut selepas anggotanya membuat laporan kira-kira pukul 7.30 pagi ini manakala siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan berkaitan kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam. - UTUSAN ONLINE.