MOHD. WAZIR MOHD. YUSOF
MOHD. WAZIR MOHD. YUSOF

Kejadian penipuan berkenaan berlaku selepas mangsa yang berusia 43 tahun menerima panggilan seorang lelaki yang mendakwa sebagai pegawai polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd.Wazir Mohd. Yusof, berkata, kejadian bermula apabila seorang suspek memberitahu mangsa ada memberi kad pengenalannya kepada seseorang untuk membuat sewaan kereta di Johor Bahru.

“Bagaimanapun, kereta berkenaan terbabit dalam kemalangan dan pemandunya meninggal dunia. Selepas itu, panggilan berkenaan disambungkan kepada seorang lagi suspek yang mengaku dirinya sebagai Sarjan Peng Sai Hau.

“Sarjan Sai Hau mendakwa seorang lelaki sudah memasukkan wang ke dalam akuan mangsa sebanyak RM21,000. Dia juga menuduh mangsa mempunyai perniagaan dengan lelaki berkenaan yang dikatakan turut terbabit dengan jenayah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Wazir berkata, Sarjan Sai Hau kemudian menawarkan bantuan kepada mangsa untuk menyelesaikan masalah tersebut dan lelaki berkenaan bersetuju.

“Supek meminta mangsa untuk memasukkan kesemua wang di dalam akaunnya iaitu berjumlah RM41,800 ke akaun Maybank yang dikatakan milik peguam untuk kes itu.

“Pada Sabtu lalu, mangsa memasukkan wang sebanyak RM26,800 dan pada Ahad lalu RM15,000 ke akaun berkenaan di Maybank Genting Highland,” katanya.

Menurutnya, mangsa selepas itu cuba menghubungi sarjan berkenaan tetapi tidak berjaya dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong untuk tindakan lanjut.

Ujarnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan pihaknya sedang mengesan semua suspek yang terbabit. - UTUSAN ONLINE