Terbaharu, sindiket itu petang semalam berjaya memperdaya seorang jurutera elektronik lelaki berusia 31 tahun di Bayan Lepas di sini, untuk menyerahkan wangnya berjumlah RM70,000.

SUPRINTENDEN A. ANBALAGAN
SUPRINTENDEN A. ANBALAGAN 

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. Anbalagan berkata, dalam kejadian pukul 4 petang semalam, mangsa dihubungi seorang wanita yang mengaku dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan memaklumkan kononnya dia tidak membayar cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta terlibat dalam beberapa kes jenayah lain.

Menurut beliau, mangsa pada mulanya mengabaikan panggilan itu namun pada pukul 5.30 petang menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada individu yang mengaku sebagai `Sarjan Lim’.

Katanya, WhatsApp dari nombor 017-3971149 memaklumkan satu surat pembekuan aset atas nama jurutera itu sudah dikeluarkan menyebabkan mangsa menjadi panik.

“Bermula dari situ, suspek telah meminta nombor akaun mangsa serta kata laluan untuk memindahkan wang bagi mengelak daripada dibeku oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum sebanyak RM30,000 milik jurutera tersebut berjaya dipindahkan suspek ke satu akaun lain.

“Tidak lama selepas itu, mangsa menerima satu lagi WhatsApp daripada suspek yang mendakwa kononnya Jabatan Audit Negara meminta dia memindahkan lagi RM30,000 menerusi ATM kerana terdapat masalah audit.

“Tidak cukup dengan itu, mangsa kemudiannya memindahkan lagi RM10,000 ke satu lagi akaun seorang lelaki selepas diarahkan kononnya bagi tujuan audit,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Anbalagan, mangsa menyedari dia ditipu selepas dia gagal menghubungi semula ‘Sarjan Lim’ sebelum membuat laporan polis.

Sehubungan itu, Anbalagan mengingatkan orang ramai supaya peka dengan penipuan yang dilakukan oleh sindiket Macau Scam berkenaan dan berhati-hati dengan tidak menyerahkan sebarang maklumat bank kepada mana-mana pihak. – UTUSAN ONLINE