Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, wanita berusia 27 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9 pagi.

“Anggota polis memeriksa beg kertas yang dipegang oleh suspek dan menemukan lapan ketulan mampat serta daun-daun kering yang disyaki dadah jenis ganja. Suspek juga didapati positif dadah jenis THC.

“Selain itu, hasil pemeriksaan, anggota polis juga menemukan botol kaca berwarna kuning, papan plastik dan sebilah pisau yang dipercayai digunakan sebagai peralatan untuk menghisap dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Roy Suhaimi memberitahu, pemeriksaan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Selepas disoal siasat, suspek mendakwa mengambil bekalan dadah daripada seorang lelaki di kawasan Kota Damansara sejak lima bulan lalu. Suspek kini ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE