Dalam kejadian pada kira-kira pukul 11.20 pagi di Jalan Sentosa itu, mangsa berusia 22 tahun itu ce­dera di lengan kanan, paha dan bahu kanan oleh suspek yang memakai topeng ski dan menaiki sebuah kereta.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa yang selesai makan di medan selera berhampiran memandu kereta jenis Honda Accord pulang ke rumahnya di Machang Bubok.

Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian, datang seorang lelaki terus melepaskan tembakan di bahagian tingkap kanan sebelah pemandu mengakibatkan mangsa cedera terkena tiga das tembakan.

“Mangsa sempat keluar dari kereta sebelum kereta itu menggelongsor ke depan yang melanggar sebuah pacuan empat roda dan mangsa meminta tolong dengan pelanggan medan selera berkenaan.

“Dia dihantar ke Hospital Bukit Mertajam oleh orang awam dan keadaannya stabil serta masih boleh bercakap,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, polis menemukan beberapa kelongsong peluru di lokasi kejadian dan akan menyiasat jenis pistol digunakan suspek namun tidak menolak kemungkinan jenis semi auto.

Jelas Nik Ros Azhan, pihaknya telah mendapatkan keterangan daripada rakan yang menemaninya makan serta keluarga mangsa selain saksi di medan selera itu.

“Polis juga sedang meneliti kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi terbabit dan yakin kes itu dapat diselesaikan segera.

“Kes itu disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan mangsa memiliki satu rekod lampau di bawah Enakmen Hiburan,” ujarnya.