Pemangku Ketua Polis negeri, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, lelaki itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri di hadapan premis cuci kereta dekat sebuah kelab rekreasi di Sendayan kira-kira pukul 10 pagi.

"Dia ditahan selepas intipan dilakukan polis mendapati suspek yang menaiki sebuah kereta Toyota Hilux telah mengambil dan menyerahkan dua paket plastik lutsinar dipercayai dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar 20 gram (g).

"Hasil soal siasat, suspek telah membawa polis ke rumahnya di Bandar Sri Sendayan dan telah merampas dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar 314.4 g bernilai kira-kira RM54,210," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, dalam serbuan itu, polis turut menyita sebuah Toyota Hilux dan pelbagai jenis barang kemas bernilai lebih RM96,000.

Tambahnya, ujian air kencing ke atas suspek didapati negatif dadah dan dia mempunyai rekod jenayah lampau.

"Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari mulai tarikh dia ditangkap dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya," ujarnya. - UTUSAN ONLINE