Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, Superintenden Sahar Abd Latif berkata, suspek berusia 29 tahun diberkas oleh pasukan JSJN, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak pada pukul 11.30 pagi.

Menurutnya, kejayaan tangkapan itu adalah hasil maklumat awam dan risikan dilakukan oleh pasukan JSJN Sarawak.

“Pemeriksaan di rumah suspek telah menemukan satu paket plastik lutsinar mengandungi 12 paket campuran serbuk jus buah-buahan dan serbuk ekstasi seberat 303.64 gram dianggarkan bernilai RM5,400.

“Siasatan awal mendapati suspek mula terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di pusat-pusat hiburan di sekitar bandar raya ini sejak Ogos lalu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Sahar memberitahu, polis turut menyita sebuah kereta jenis Perodua Kelisa dipercayai digunakan suspek untuk menjalankan aktiviti jenayah itu.

Katanya, ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE